comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja kedai aluminium mengaku tak bersalah sebabkan kematian

FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Seorang pekerja kedai aluminium mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki baru-baru ini.

Tertuduh, Han Boon Hou, 33, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Dia dituduh menyebabkan kematian Mohd Shazwan Idzauddin Ishak, 29, dengan melakukan suatu perbuatan yang gopoh atau cuai pada 19 Mac, jam 6.39 pagi di belakang bangunan BSN Kuala Kedah dekat sini.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha manakala tertuduh diwakili peguam Lim Wei Yong.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan dia melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen di sini, tiga lelaki mengaku tidak bersalah semasa dihadapkan ke mahkamah termasuk Mohd Shazwan Idzauddin (si mati) atas tuduhan cuba melakukan rompakan berkumpulan terhadap Han pada hari yang sama.

Muhammad Zaki Zabani Osman, 28; Zazimi Hamid, 41; dan Mohd Shazwan Idzauddin dituduh cuba melakukan rompakan berkumpulan ke atas Han di hadapan Farmasi Kuala Kedah dekat sini, pada 6.39 pagi 19 Mac lalu.

Mereka didakwa di hadapan hakim Noor Zaihan Mohamad Ali mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap semua tertuduh dan hakim menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 19 Mac lalu, seorang lelaki maut ketika cuba menyamun sebuah kereta di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir dilaporkan berkata tiga lelaki yang menaiki dua motosikal dipercayai cuba melakukan samun terhadap sebuah kereta, apabila seorang daripada mereka memukul cermin kereta di bahagian hadapan dengan objek sehingga pecah.

Beliau berkata akibat ketakutan, pemandu kereta memecut keretanya dan melanggar sebuah daripada motosikal dinaiki seorang suspek yang cuba menghalang di bahagian hadapan keretanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini