comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pekerja kedai makan mengaku rogol teman wanita hingga lahir anak


MUAR: Pekerja kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kenalan bawah umur hingga melahirkan bayi, di sebuah rumah dalam daerah Batu Pahat, tahun lalu.

Tertuduh, Ong Cheng Jun, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaaan, dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kenalannya berusia 15 tahun ketika kejadian di rumahnya di Batu Pahat, sekitar jam 5 petang, Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan ini, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Berdasarkan laporan polis, kejadian itu disedari seorang guru selepas mendapati berlaku perubahan fizikal terhadapnya.

Guru kemudian mengajukan perkara itu kepada ibu bapa mangsa namun mereka tidak mempercayai sebaliknya menyangka anaknya mengalami masalah kesihatan di perut.

Pada 21 Ogos tahun lalu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan dia sudah hamil 23 minggu ketika itu.

Susulan itu, keluarga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengenai kejadian itu.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan tertuduh di Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat pada jam 3 petang, 25 September tahun lalu.

Mangsa dilaporkan sudah berhenti sekolah dan selamat melahirkan bayi lelaki pada Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukannya serius.

Setelah meneliti hujahan dan rayuan tertuduh, mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes, laporan sosial, fakta dan juga hukuman terhadap tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini