Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja kilang ais mengaku salah miliki video pornografi kanak-kanak

Muhammad Affandi Mohd Azi, 33 mengaku bersalah menyimpan video pornografi kanak-kanak, video lucah di Mahkamah Majistret Kuala Berang hari ini.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Seorang pekerja kilang ais mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Berang hari ini atas dua pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak dan video lucah.

Tertuduh, Muhammad Affandi Mohd Azi, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zul Azureen Zainalkepli.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, suatu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Disember lalu, kira-kira jam 8.50 malam, di Kampung Batangan, Marang, Terengganu. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh ditahan kerana memiliki video lucah, suatu kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Tuan Norhasnida Tuan Nordin, mengendalikan kes, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari 2025 sebagai tarikh hukuman.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Muhammad Affandi ditahan dalam serbuan Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC, di kediamannya.

Serbuan yang diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak (D11) Terengganu itu dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangkap individu disyaki memiliki serta mengedar bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Operasi bersepadu tersebut melibatkan siri serbuan yang diselaraskan di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang, dan Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini