comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja Kilang Didenda RM15,000 Mengaku Dera Anak

Tan Chung Jian dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani kerana didakwa mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun antara Ogos hingga September. – FOTO: NSTP

SUNGAI PETANI: Pekerja kilang didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah tuduhan mendera anak lelakinya antara Ogos hingga September lalu.

Tan Chung Jian, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan lelaki terbabit di sebuah rumah di Taman Desa Jaya 2, di sini antara Ogos sehingga September.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 20021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan seorang murid tahun satu disyaki menjadi mangsa dera bapanya selepas guru penolong kanan mendapati terdapat kecederaan di muka dan badan mangsa.

Rahsia itu terbongkar selepas guru berkenaan melakukan pemeriksaan terhadap mangsa yang ketika itu berkelakuan pelik kerana memakai jaket dalam kelas dipercayai untuk menyembunyikan kesan luka dan cedera.

Satu laporan polis dibuat dan susulan daripada itu, bapa kanak-kanak terbabit berjaya ditahan polis dan siasatan mendapati suspek mengaku memukul anak tunggalnya itu menggunakan penyapu, rotan dan senduk kerana mendakwa mangsa degil dan hiperaktif. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini