MELAKA: Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini mendenda seorang pekerja pengurusan jenazah RM2,800 selepas mengaku bersalah menakutkan isterinya dengan cara mengejar mangsa sambil memegang gunting pada 20 Julai lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Khairunnisak Hassni ke atas tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, yang menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan hari ini.
Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh kemudian membayar denda.
Ketika dituduh kali pertama pada 25 Julai, lalu dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa dengan niat menakutkan isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejar sambil memegang gunting di sebuah pangsapuri dekat Kota Laksamana kira-kira jam 8.30 malam pada 20 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu tertuduh diberikan hukuman ringan kerana sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan, selain pengakuannya menjimatkan masa dan kos mahkamah untuk mengadakan perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar bagaimanapun menghujahkan supaya hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh atas kesalahan dilakukan kerana mangsa adalah isterinya.
Mengikut fakta kes, antara lain tertuduh bertindak demikian kerana berang mangsa (pengadu) didakwanya tidak pandai menjaga anak mereka yang berusia tiga bulan hingga terjatuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.