comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja pusat jagaan anak yatim warga Indonesia tak mengaku cederakan remaja

Warga Indonesia, Zainal Abidin, didakwa mencederakan remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah pusat penjagaan di Lembah Jaya Selatan pada Oktober lalu. – FOTO: NSTP

AMPANG: Seorang pekerja penyelenggara elektrik pusat jagaan anak yatim didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencederakan remaja perempuan berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga warga Indonesia, Zainal Abidin, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut pertuduhan, Zainal dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada remaja perempuan itu di sebuah pusat jagaan di sini, jam 4 petang, 22 Oktober lalu, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani, membantah wang jaminan diberikan kepada tertuduh atas alasan boleh mengganggu saksi pendakwaan yang tinggal di pusat jagaan itu.

“Mangsa tidak tinggal di rumah itu tetapi kita bimbang tertuduh yang bekerja di pusat jagaan itu akan mengganggu saksi pendakwaan lain.

“Tiada wang jaminan ditawarkan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, perlu dikenakan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Peguam bela tertuduh, Wan Nur Afifah Che Bakar, memohon ikat jamin munasabah atas alasan anak guam tidak tinggal di pusat jagaan, sebaliknya hanya bekerja di premis itu.

“Mohon jaminan paling minimum dan munasabah kerana tertuduh menanggung isteri tidak bekerja serta dua anak berusia sembilan bulan dan lima tahun,” katanya.

Majistret kemudian membenarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dengan dua penjamin serta syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.

Sementara itu, Zainal mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret berasingan, kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh sah.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah iaitu selama lima bulan 26 hari dari tarikh tamat tempoh masuk negara pada 1 Mei hingga tarikh tangkap pada 26 Oktober lalu.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di pusat jagaan sama, jam 5.05 petang pada tarikh ditahan, mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Majistret Normaizan Rahim, membenarkan jaminan RM8,000, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan itu ditetapkan pada 9 Januari tahun depan.

Loading...
Terkini