comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja restoran didakwa sokong kumpulan pengganas IS

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 35 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menyokong, memiliki barang dan mengaku sebagai anggota kumpulan pengganas, Negara Islam (IS).

Muhammad Muzzammil Mohd Mohlis, seorang pekerja restoran mengangguk faham terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Terdahulu, Muhammad Muzzammil yang berpakaian kemeja-T berkolar kuning muda dan seluar hitam diiringi masuk ke dalam bilik mahkamah oleh anggota polis bersenjata.

Dua anggota polis turut duduk bersama Muhammad Muzzammil di kandang tertuduh sepanjang prosiding berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara sedar memberi sokongan kepada IS dengan menggunakan akaun Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (dalam bahasa Arab).

Kesalahan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda; dan barang yang digunakan atau dimaksudkan untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu hendaklah disita.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki artikel dan video berkaitan IS.

Kesalahan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda; dan barang yang digunakan atau dimaksudkan untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu hendaklah disita.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4.50 petang di Cawangan Khas Bukit Aman Counter Terrorism, Menara 2 pada 31 Mei lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa secara sedar mengaku menganggotai IS dengan mengadakan majlis bai’ah dengan pemimpin IS Abu Hafs Al Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan itu.

Kesalahan mengikut Seksyen 130J(2)(d) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 40 tahun atau denda dan barang yang digunakan atau bertujuan untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu hendaklah disita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10.08 pagi di Flat Sri Melaka di Cheras pada Mei lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan dua bulan mulai hari ini sementara menunggu laporan daripada pakar berhubung perkara berkaitan keganasan.

Hakim juga berkata tiada jaminan ditawarkan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin dan tertuduh diminta untuk melantik peguam.

Mahkamah menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini