Tumpuan :
Mahkamah

Pelaburan emas: Siti Hajartul Haini didakwa tipu pesara

Siti Hajartul Haini Abd Hamid dihadapkan ke Mahkamah Majistert Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan menipu seorang pesara kerajaan membabitkan nilai RM26,750 dalam pelaburan emas ‘Paddy Jewellery’.

Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, S Mageswary.

Mengikut pertuduhan, Siti Hajartul Haini didakwa menipu Mohd Zaid Ibrahim, 50, dengan memperdaya pelaburan emas Paddy Jewellery sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM26,750 melalui akaun CIMB Bank atas nama Pawana Sweet, milik syarikat wanita itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bank di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Dang Wangi, di sini, kira-kira 12.20 tengah hari, 2 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih 10 tahun serta dengan sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan RM8,000 wang jaminan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Siti Hajartul Haini memohon wang jaminan dikurangkan berikutan dia tidak bekerja dan menanggung empat anak, suami dan bapa mentua.

“Saya minta (jaminan) dikurangkan kerana saya mempunyai empat anak, suami yang tidak bekerja dan dia dalam rawatan demam denggi selain menghidap darah tinggi dan asma.

“Saya juga tidak bekerja dan menanggung bapa mentua,” katanya.

Kemudian Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Disember untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Semalam, seorang lelaki yang terbabit dalam pelaburan Paddy Jewellery mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menipu dua individu membabitkan nilai lebih RM300,000.

Sebelum ini, media melaporkan 69 laporan polis diterima berkaitan penipuan pelaburan ini membabitkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM48.5 juta.

Terdahulu, media turut melaporkan lebih 100 mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan harga emas 916 yang lebih rendah dari pasaran oleh wanita dikenali Siti Hajartul Haini Abd Hamid sejak dua bulan lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini