comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pelajar IPT Didakwa Miliki 740 Gambar Lucah Kanak-Kanak

SEREMBAN : Penuntut warga Bangladesh sebuah universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, atas 12 pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Tertuduh, Zobaidul Amin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, penuntut perubatan universiti swasta itu didakwa atas lapan pertuduhan mengarah atau menghasilkan pembuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan perkhidmatan aplikasi Snapchat.

Sehubungan itu lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi empat lagi pertuduhan, Zobaidul didakwa mempunyai dalam milikan suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu sebanyak 740 imej digital di dalam telefon bimbit, pemacu USB dan cakera keras.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Rasah, di sini, antara 26 Oktober 2021 sehingga 19 September lalu.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah serius.

Zahida berkata, tertuduh dibimbangi akan meneruskan aktiviti mengarahkan penghasilan pornografi kanak-kanak dan mengganggu mangsa kanak-kanak secara dalam talian sekiranya ikat jamin diberikan.

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, Harvindar Singh pula memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya itu kerana kesalahan dilakukan boleh diberikan ikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan diberikan kepada tertuduh sebanyak RM96,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan dua orang penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang lain.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 30 November depan.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing yang memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan, Isnin lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata, tangkapan itu dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Loading...
Terkini