comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pelajar kolej didakwa cabul junior dalam tandas, asrama

NurHaziq dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar junior bulan lalu. – Foto: NSTP

MUAR: Seorang pelajar sebuah kolej kemahiran di sini, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar junior dalam tandas dan asrama penginapan, awal bulan ini.

Tertuduh, NurHaziq Luqman Mohd Nasri, 18, yang berhadapan dua tuduhan mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyuruh seorang pelajar junior berusia 17 melakukan oral seks dalam tandas kolej terbabit pada jam 3.15 pagi, 5 September lalu.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan keji terhadap seorang lagi pelajar junior di asrama penginapan kolej terbabit, pada jam 4 petang, 7 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 14 (d) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan dua alternatif kepada mahkamah sama ada tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin ataupun jaminan sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Selepas meneliti hujahan serta rayuan tertuduh mahkamah kemudian membenarkannya dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan dua syarat kepada tertuduh iaitu perlu melapor diri setiap bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak serta tidak boleh mengganggu atau menghubungi kedua-dua mangsa.

Abu Bakar kemudian menetapkan 23 Oktober depan sebutan semula kes.

Loading...
Terkini