comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pelajar kolej didakwa cabul remaja baru beberapa jam dikenali di media sosial 

Tertuduh Muhammad Nadzer mengaku tak salah mencabul pelajar baru dikenali di rumah sewanya di Kluang. – FOTO: NSTP

MUAR: Pelajar sebuah kolej kemahiran di Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tingkatan empat yang baru beberapa jam dikenali di rumah sewanya, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Nadzer Haqeem, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwa Suainbon.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun di sebuah rumah di Mengkibol, Kluang, pada jam 9.30 malam, 21 Jun lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Hukumannya ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh yang baru mengenali mangsa melalui media sosial sebelum mengajaknya datang ke rumah sewa.

Secara kebetulan, pada hari terbabit semua pelajar pulang ke rumah masing-masing kerana cuti semester.

Tertuduh kemudian mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu.

Sejak itu, tertuduh dan mangsa kerap berhubung selain turut bertukar gambar lucah.

Sehinggalah pada satu ketika apabila tertuduh mengugut mangsa menyebar gambar terbabit jika tidak memberi wang seperti diminta.

Mangsa hanya sempat memberikan RM120 kepada tertuduh namun dia sekali lagi meminta wang yang membuatkan mangsa ketakutan lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini