comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pelajar mengaku tidak bersalah, cabul dan cederakan wanita baru dikenali 

Foto: NSTP

MELAKA: Seorang pelajar institut kemahiran didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan dan mencederakan kenalan wanita yang baru sehari dikenali, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Akmal Nordin,24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus dibacakan kedua-dua pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 16 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang perempuan berusia 21 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika berada di dalam kereta di kawasan Jalan Ayer Keroh Lama, dekat sini, pada 15 April lalu, antara jam 10 malam hingga 12.30 tengah malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada tarikh, masa dan ditempat sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM1,000 atau keduanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Roslan menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Tertuduh, merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia masih belajar dan akan dijamin oleh bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan RM4,500 berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini