
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan pelakon, Amelia Henderson, menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi, A Aida Production, berhubung kes pelanggaran kontrak sebuah drama berjudul ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’.
Hakim Zulqarnain Hassan, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, ketika prosiding secara dalam talian.
“Mahkamah gunakan budi bicara dan benarkan permohonan penggantungan perintah permohonan maaf secara terbuka serta yang menghendaki penghapusan video daripada akaun Instagram defendan (Amelia).
“Bagi perintah bayaran, mahkamah benarkan penggantungan, namun memerintahkan bayaran bagi jumlah penuh penghakiman dimasukkan ke dalam akaun simpanan yang diuruskan secara bersama peguam kedua-dua pihak,” katanya.
Pada 7 April lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang menerusi syarikatnya, A Aida Production Sdn Bhd selepas membenarkan tuntutan saman syarikat itu terhadap pelakon berkenaan.
Zulqarnain memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am RM90,000, pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920 dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada A Aida selaku plaintif.
Mahkamah turut membenarkan permohonan A Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya.
Pelakon terbabit juga perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April lalu.
Amelia kemudian memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Pada 28 Julai 2022, A Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir penggambaran.
Plaintif mendakwa Amelia menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama berkenaan.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepadanya.