comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pelakon, Pengarah, Penolong Pengarah Mengaku Bersalah Miliki Dadah

Muhamad Niezam, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Kangsar, hari ini. – Foto : NSTP

Seorang pelakon drama bersama pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini, atas tuduhan memiliki dadah jenis cannabis dan methamphetamine.

Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 29, Mohd Latif Zami, 49, dan Saiful Zaidrin Ismail, 43, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Muhamad Niezam dan Mohd Latif didakwa masing-masing memiliki 1.15 gram (g) dan 0.3g dadah jenis cannabis di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, di sini pada 7.15 pagi, 10 Okt lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi Saiful Zaidrin pula, dia didakwa memiliki 0.38g dadah berbahaya jenis methamphetamine pada tempat, tarikh dan masa sama dan dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan RM6,000 bagi Muhamad Niezam dan Mohd Latif, manakala RM8,000 bagi tertuduh ketiga.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak-anak guamnya baharu sahaja memulakan penggambaran pertama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Mahkamah membenarkan Muhamad Niezam dan Mohd Latif masing-masing diikat jamin RM3,000 dan RM2,600 manakala jaminan RM3,200 bagi Saiful Zaidrin berserta seorang penjamin.

Majistret Mohd Shazmeer kemudian menetapkan 1 Dis depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia sebelum menjatuhkan hukuman.

Sebelum itu, kesemua tertuduh tiba di bangunan mahkamah kira-kira pukul 12 tengah hari dengan pakaian lokap polis berwarna ungu. – BERNAMA

Loading...
Terkini