comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu lori dipenjara 12 bulan, buli siber pempengaruh Esha

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu kepada pempengaruh dikenali Rajeswary atau Esha yang ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli, empat bulan lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas B Sathiskumar, 40, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serantak dari tarikh tangkap pada 10 Julai lalu.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap bapa anak tiga itu, tertuduh memohon maaf dan mengakui kesalahannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Saya bersalah, saya tidak akan buat lagi, minta ampun puan (Hakim), lain kali saya tidak buat lagi,” katanya dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Tiktok menggunakan nama profil Tiktok “@dulal_brothers_360” pada 30 Jun lalu pada 10.12 malam dan hantaran itu dibaca pada 10.15 malam di Jalan Ipoh, di sini, 30 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar didakwa mengaibkan dan mengganggu kesantunan P R Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok dengan menggunakan nama profil Tiktok sama pada tarikh, masa dan tempat sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu masing-masing seorang lelaki dan wanita melayari media sosial TikTok dan terlihat satu akaun bernama ‘@dulal brothers_360’ menggunakan gambar Rajeswary (mangsa) sebagai latar belakang dan mengeluarkan fitnah serta kata-kata kesat.
Tertuduh juga ada membuat ancaman rogol dan bunuh kepada mangsa.

Mangsa membuat laporan polis pada 4 Julai lalu kerana diugut, diancam dan dimaki oleh tertuduh, bagaimanapun mangsa tidak hadir memberikan keterangan selepas dipanggil untuk siasatan.

Pegawai penyiasat mengesan mangsa dengan membuat panggilan telefon dan pergi ke rumahnya namun mangsa masih gagal dikesan, bagaimanapun sehari selepas itu anggota polis bertugas di Pusat Kawalan Berpusat Kuala Lumpur membuat laporan pertama bahawa mangsa menggantung diri di sebuah unit kediaman di Setapak.

Siasatan polis mendapati melalui analisis forensik yang dijalankan di mana media sosial Tiktok ‘@dulal brothers_360’ dan telefon bimbit milik tertuduh mendapati video siaran langsung TikTok itu dilakukan oleh tertuduh dan akaun sama ditemui dalam telefon bimbit lelaki itu yang dirampas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dengan mengambil kira faktor kesalahan tertuduh serta kepentingan awam dan hak mangsa dalam kes ini.

“Penggunaan perkataan lucah seperti mana dalam pertuduhan yang digunakan tertuduh semasa siaran langsung di TikTok, melambangkan niat jahat tertuduh menyakiti mangsa (Rajeswary).

“Tambahan pula, fakta kes menunjukkan mangsa(Rajeswary) menggantung diri selepas dia membuat laporan polis dan mangsa juga diugut, diancam dan dimaki oleh tertuduh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini