Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu lori kontena terbalik hempap kereta direman 4 hari

Pemandu treler kontena lelaki berusia 51 tahun diiringi anggota polis untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Butterworth, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas terbabit kemalangan sehingga menyebabkan seorang gadis maut di Jalan Kebun Sireh. FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Pemandu lori kontena terbalik sebelum menghempap kenderaan hingga seorang wanita maut di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah menghala Kebun Sireh, di sini semalam direman empat hari, lapor BH Online.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan membenarkan reman terhadap lelaki berusia 51 tahun itu bermula hari ini hingga Ahad.

Ia bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu suspek yang ditahan semalam tiba di mahkamah sekitar jam 8.20 pagi diiringi anggota polis sempat menunjukkan tanda ‘peace’ ketika pihak media merakamkan wajahnya.

Insiden itu membabitkan lima kereta dan sebuah lori yang sedang berhenti di lampu isyarat menunggu giliran untuk bergerak.

Dalam kejadian 9.15 pagi semalam, wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian manakala lelaki berusia 25 tahun cedera dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Tular video dan beberapa keping gambar di media sosial memaparkan deretan kenderaan yang berada di persimpangan lampu isyarat Jalan Persekutuan di Bukit Tengah di sini dikejutkan dengan insiden kontena yang terjatuh dari sebuah treler sehingga menyebabkan seorang dilaporkan terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan dekat situ mendapati pemandu treler membelok kenderaannya sebelum kontena yang dibawanya telah terbalik dan menimpa beberapa kenderaan yang sedang menunggu di lampu isyarat terbabit.

Difahamkan, mangsa yang maut dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini