comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu lori mengaku tak bersalah, amang seksual fizikal anak tiri

MELAKA: Pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tiri berusia 12 tahun, minggu lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun itu mengaku faham dan minta dibicarakan sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Felda Bukit Senggeh, Jasin pada 26 September lalu, antara jam 10.30 malam hingga 11 malam.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat. Dan sebagai tambahan hendaklah dihukum penjara maksimum lima tahun dan hendaklah juga dihukum minimum dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa dan memohon tarikh baharu untuk mendapatkan laporan perubatan.

Tertuduh bagaimanapun merayu diberikan jaminan yang rendah dengan alasan hanya dia seorang bekerja dan menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 14 November depan untuk serahan dokumen serta melantik peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini