Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu SUV terbakar mengaku tidak bersalah pandu melulu, langgar lari

Sum ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mercedes Benz GLE450 yang terbabit kemalangan sebelum kenderaannya terbakar di Kilometer 18.1 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Sum Kah Fei, 34, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.

Mengikut pertuduhan pertama, peniaga itu didakwa memandu secara melulu sehingga berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan Muhammad Nur Faiz Saini parah.

Kejadian berlaku di sekitar Lebuhraya SPE dari arah pusat bandar ke Plaza Tol Wangsa Maju, di sini, pada jam 12.35 tengah hari, Ahad lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menghentikan kenderaannya selepas terbabit kemalangan dengan motosikal ditunggang mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada tarikh dan masa yang sama.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahjiman yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya itu sedang mengalami masalah perniagaan selain perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari 2025 bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pemandu Mercedes Benz GLE450 terselamat selepas kenderaannya musnah dalam kebakaran di KM 18 Lebuhraya SPE dekat Plaza Tol Wangsa Maju.

Susulan kejadian itu, tular satu hantaran dimuat naik seorang pengguna aplikasi sosial Instagram mendakwa adik iparnya parah selepas dikatakan dilanggar pemandu SUV terbakar terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, polis menahan pemandu kenderaan yang disyaki melanggar lari penunggang motosikal.

Beliau dipetik berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda Vario 160 dilanggar ketika bergerak lurus di laluannya sehingga mengakibatkan mangsa terjatuh di atas jalan raya.

Katanya, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum kenderaannya terhenti dan terbakar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini