Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Seorang pemandu teksi dan buruh didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku menyeludup tujuh lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI), empat tahun lalu.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nazar Sukkur, 52, dan Khairul Nasir, 40, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didapati secara bersama-sama telah membenarkan tujuh PATI berada di dalam kereta jenis teksi jenis Toyota Innova kira-kira pukul 11.30 malam di pesisiran pantai Jalan Pokok sam dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Disember 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh telah ditahan atas maklumat Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pinang selepas disyaki terlibat dengan kegiatan penghantaran pulang PATI warga Indonesia dan Bangladesh secara haram.
Hasil siasatan, salah seorang yang dibawa adalah tekong darat bernama Rio Haspani (warga Indonesia) yang juga bekas tunang kepada adik ipar Khairul.
Kegiatan itu telah dijalankan menggunakan teksi milik Nazar dan sebuah Proton Wira milik bapa Khairul.
Terdahulu, Nazar yang diwakili Peguam Datuk Baljit Singh dan Khairul diwakili Zulfikri Zakaria merayu hukuman diringankan dengan alasan pengakuan dibuat telah menjimatkan masa mahkamah, selain telah insaf dan mempunyai tanggungan keluarga.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.
Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh didenda RM35,000 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda – BULETIN TV3.