comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pembantu kastam kanan berdepan 38 tuduhan rasuah berjumlah RM14,950

Tertuduh didapati memperoleh wang antara RM100 hingga RM3,000 melalui satu akaun bank miliknya daripada seorang pemilik agen perkhidmatan pengangkutan kargo di KLIA.

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu kanan kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 38 pertuduhan menerima rasuah keseluruhannya berjumlah RM14,950 antara 2017 hingga 2021.

Tertuduh Wan Azmany Wan Ali @ Wan Abdul Aziz, 46, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati secara rasuah memperoleh wang antara RM100 hingga RM3,000 melalui satu akaun bank miliknya daripada seorang pemilik agen perkhidmatan pengangkutan kargo di KLIA.

Ia sebagai balasan melancarkan urusan agen perkhidmatan pengangkutan kargo berkenaan yang mempunyai perhubungan dengan kerja rasmi seseorang penjawat awam.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank, di Taman Kebun Teh, Johor Bahru antara 27 Mac 2017 hingga 2 September 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam, Jamaludin Abdul Jalil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini