Tumpuan :
Mahkamah

Pembantu kedai makan dituduh sebabkan kematian tiga warga Pakistan

Mohd Azizol (baju hijau) didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini.- Foto NSTP

Oleh: Kumaran Rajamoney

TELUK INTAN: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan memandu kenderaan dibawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada enam individu warganegara Pakistan pada April lalu.

Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 37 membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut tiga pertuduhan yang dibaca secara berasing, tertuduh didakwa memandu kenderaan jenis Proton Iswara dan tidak berdaya mengawal kenderaan itu sehingga menyebabkan kematian kepada tiga lelaki warga Pakistan iaitu Muhammad Zahir, Shayan Muhammad dan Khan Adil.

Tertuduh juga didakwa dibawah tiga lagi pertuduhan memandu kenderaan sama sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga lagi lelaki warga Pakistan iaitu Khan Saleem, Khan Yassen dan Kamran Ali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 April 2024, kira-kira jam 8.10 pagi di Kilometer (KM) 16 Jalan Teluk Intan hala Bidor.

Pendakwaan dilakukan dibawah Seksyen 44 (1) (a) dan Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan dan tertuduh diwakili peguam, Aiman Rusli.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini