comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah buang bayi di rumah jiran 

BATU PAHAT: Pembantu kedai makan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan membuang bayi perempuan yang baru dilahirkan hasil hubungan sulit di sebuah rumah di Semerah, dekat sini, 7 tahun lalu.

Ibu tiga anak Nor Fazlinda Sakimun, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, wanita ini didakwa meninggalkan bayi perempuan seberat 3.1 kilogram (kg) atas lantai rumah jirannya dalam keadaan berbogel, di Parit Lubok Darat, Semerah, di sini, antara jam 12.30 tengah malam hingga 7 pagi, 23 September 2017.

Ketika kejadian, tertuduh berusia 19 tahun dan dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan polis, bayi tersebut dijumpai pasangan suami isteri warga emas di tepi beranda rumahnya dengan kesan tumpahan darah di lantai.

Sebelum penemuan itu, tertuduh dilaporkan ke rumah warga emas terbabit yang terletak di seberang jalan rumah keluarganya selepas mengalami sakit perut sebelum melahirkan bayi di beranda rumah berkenaan.

Kebetulan pada hari kejadian, pasangan terbabit tiada di rumah kerana mereka bermalam di rumah anaknya di Parit Sulong, dekat sini.

Namun, pasangan itu menemui bayi terbabit sebaik tiba di rumah, 7 pagi.

Pasangan itu kemudian memaklumkan kepada polis sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Malah, siasatan di sekitar lokasi kejadian membawa kepada penemuan uri dan tali pusat yang dibuang di tepi rumah tertuduh dan dia mengaku melahirkan serta membuang bayinya di rumah pasangan terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Sharif.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM6,000 susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh namun peguamnya merayu agar jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya dari keluarga susah.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 3 Julai ini untuk sebutan semula dan juga serahan dokumen.

Bagaimanapun, tertuduh yang ditemani suami serta dua anaknya gagal membayar wang jaminan terbabit sebelum dibawa ke lokap.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini