comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pembelaan Gagal Dapatkan Salinan Rakaman Percakapan Saksi Utama Kes Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan hari ini gagal mendapatkan salinan rakaman percakapan seorang saksi utama pendakwaan yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi, di sini.

Ia berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan peguam, Gobind Singh Deo untuk mendapatkan salinan percakapan saksi pendakwaan ke-13 yang juga bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU, Rafiq Hakim Razali.

Sebelum ini, Gobind berhujah pernyataan dirakam SPRM pada 2020 itu penting kerana wujud dua senario bercanggah yang diberikan oleh saksi terbabit berhubung kutipan dana untuk tujuan kempen Ahli Parlimen Muar itu.

Beliau berkata, Rafiq Hakim memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar, namun ketika memberi keterangan lisan di mahkamah, saksi itu menyatakan dana berkenaan dikumpul untuk kegunaan Armada.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimanapun memohon agar permohonan itu ditolak atas alasan pembelaan gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta ketika itu, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana terbabit di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 dan 21 April 2018.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018. – BERNAMA

Loading...
Terkini