comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemilik kedai runcit didenda RM30,000 kerana beri suapan

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Seorang pemilik kedai runcit didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menawarkan suapan seutas rantai leher emas kepada anggota polis pada September tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah turut berhadapan hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda itu, serta memerintahkan rantai leher emas tersebut perlu dilucutkan hak kepada pihak kerajaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Sancheev Varunanthera didakwa menawarkan untuk memberi suapan seutas rantai leher emas bernilai RM4,649.95 kepada Abdullahtip Abdullah berpangkat Sub-Inspektor (SI) yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Suapan itu adalah sebagai balasan untuk melepaskannya daripada menerima hukuman undang-undang bagi kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine yang boleh disabitkan dengan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sancheev dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 612 sebuah hotel di Jalan Sepuluh, di sini, lebih kurang pukul 2 petang, pada 7 September 2022 dan dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur manakala Sancheev tidak diwakili peguam.

Loading...
Terkini