comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pemilik kedai runcit tak mengaku salah amang seksual pelajar lelaki

MUAR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas pelajar lelaki di dua lokasi berasingan dekat Kluang, November tahun lalu dan awal tahun ini.

Muhammad Tarmizi Omar, 31, yang berhadapan dua pertuduhan membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh Muhammad Tarmizi dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas didakwa amang seksual pelajar. FOTO: NSTP

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah kereta yang diparkir berdekatan tangki air sebuah tanah rancangan di Kluang pada November tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengulangi perkara itu ke atas mangsa sama dalam kedai runcit miliknya pada Januari lalu.

Untuk kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Hukumannya ialah tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh membawa mangsa menaiki keretanya sebelum berhenti di sebuah lokasi berdekatan tangki air.

Mangsa dipaksa melakukan seks oral dengan kejadian kedua berulang di belakang kedai tertuduh namun remaja itu merahsiakan perkara berkenaan daripada pengetahuan keluarga.

Sehinggalah pada 11 Mei lalu, mangsa sekali lagi bertandang ke kedainya dan tertuduh sekali lagi mengganggunya.

Tidak tahan dengan perbuatan tertuduh, mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakan yang kemudiannya menasihatkan supaya memberitahu bapanya.

Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Gajah pada 13 Mei lalu dan tertuduh ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh diwakili Salmi Hamdan Sabran dan Nur Hazimah Abdul Karim.

Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan menetapkan dua syarat iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak berkomunikasi atau mengganggu mangsa, ahli keluarga dan juga saksi sehingga kes selesai.

Kes ini disebut semula pada 24 Jun ini untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini