comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemilik premis cuci kereta didakwa gaji 5 warga asing tanpa permit

Foto: NSTP

TELUK INTAN: Seorang pemilik premis cucian kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggaji lima warga asing tanpa permit, dua minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Loh Seck Cheong, 44, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu dituduh mengambil kerja lima lelaki warga Myanmar berusia 22 hingga 30 tahun yang tidak memiliki suatu pas atau permit yang sah di sebuah premis cucian kereta di Taman Mas Falim, Ipoh pada 3.10 petang, 7 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi tiap seorang yang diambil bekerja, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam, Charanjit Singh Gurdev Singh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Hakim menetapkan sebutan semula kes itu pada 18 Jun depan bagi serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini