comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemilik syarikat didakwa lagi buat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

Raymond Sim didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai RM87,500 pada 2021. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat elektrik dan elektronik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai RM87,500 pada 2021.

Tertuduh, Raymond Sim, 35, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang bayi itu didakwa memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) atas nama Minbot Sdn Bhd bagi menuntut insentif dua siri Program Penjana Kerjaya berjumlah keseluruhan RM87,500 kepada tiga pegawai perkhidmatan pekerjaan PERKESO bagi nama pekerja baharu, sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen berkenaan bukan pekerja syarikat miliknya.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Raymond didakwa, melakukan kesalahan itu di dua cawangan pejabat PERKESO di Petaling Jaya dan Klang antara 9 Mac hingga 11 November 2021.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan passport kepada pihak mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap awal bulan.

Mohd Aliff turut memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh di mahkamah terbabit.

Peguam Reuben Ong yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah berjumlah RM7,000 berikutan anak guamnya perlu menanggung kos rawatan bayinya yang tidak sihat.

Jelasnya, gaji anak guamnya berjumlah RM5,700 manakala kos perubatan bayinya adalah RM4,900 dengan memerlukan penjagaan rapi.

“Anak guam juga sebelum sudah dijamin sebanyak RM30,000 bagi pertuduhan yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari depan.

Terdahulu pada 26 Januari lalu, Raymond yang juga pemilik sebuah lagi syarikat iaitu Fireshot Marketing Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM153,200.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 3 Jun 2021 hingga 15 September 2021 di pejabat PERKESO Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan menyerahkan dokumen palsu mengandungi butiran nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dikemukakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini