
PETALING JAYA: Seorang pembantu di pusat permainan kanak-kanak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkelakuan kurang sopan dan mengugut ibunya, Selasa lalu.
Muhammad Zahir Mohd Zubir, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 September depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap Zalya Ibrahim, 46, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan di sebuah rumah di Kampung Lindungan di sini pada 6 petang, 19 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Ghazali Zulkifli mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kadar itu dikurangkan kerana dia baru sahaja mendapat pekerjaan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Shahril Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.