comscore
Tumpuan :
Mahkamah

‘Penapis Air Tidak terjejas, Hanya Kebocoran Kecil Pada Adaptor Paip Singki’

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, mesin penapis air di unit kondominium didiami pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, berfungsi dengan baik walaupun ada kebocoran kecil pada adaptor paip singki.

Juruteknik mesin penapis air, Mohamed Rezuan Satori, 25, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, berkata beliau menukar adaptor selepas mengesan air menitik pada paip berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, tekanan air mesin itu mencukupi dan suhu bagi air panas lebih 86 darjah Celcius, manakala air sejuk kurang daripada lima darjah Celcius.

“Laporan mengenai masalah mesin air itu diterima pada 23 Mei 2021. Saya menelefon Siti Bainun tetapi tidak berjawab sebelum menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Siti Bainun menelefon semula dan kerja membaiki mesin air ditunda keesokannya. Saya masuk ke kondominium itu jam 12.30 tengah hari melalui pondok keselamatan dan pengawal keselamatan minta parkir di kawasan pelawat.

“Saya meminta Siti Bainun turun ke lobi dan bawa saya naik lif ke unit kondomunium itu. Saya masuk rumah Siti Bainun dan ada dalam lima kanak-kanak, sebelum pergi ke mesin air itu bagi mengenal pasti masalahnya,” katanya.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Seorang lagi juruteknik mesin penapis air, Azrin Aisyah Mohd Radzi, 32, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Siti Bainun, Nur Ellena Mohamed Razif, mengesahkan pergi ke kondominium itu, pada 17 Mei 2021 untuk menyelenggara mesin itu.

Bagaimanapun, peguam itu mempersoal dokumen pengesahan selenggara mesin ditandatangani Siti Bainun menunjukkan tarikh lain iaitu 19 Mei 2021.

Ellena: Masa borang itu ditandatangani tiada tarikh diletakkan?

Azrin Aisyah: Belum.

Ellena: Bermakna bahagian tarikh dikosongkan dan ditulis kemudian selepas kamu pulang?

Azrin Aisyah: Ya.

Ellena: Tandatangan dokumen tanpa tarikh bermakna ia tidak lengkap?

Azrin Aisyah: Tidak setuju.

Ellena: Siapa yang isi tarikh itu?

Azrin Aisyah: Ditulis oleh saya kemudian diserahkan kepada syarikat.

Azrin Aisyah yang juga saksi pendakwaan ke-21 kemudian memaklumkan, dokumen itu memaparkan butiran Siti Bainun seperti nombor telefon dan alamat.

Sebagai ejen, beliau hanya menulis nama timangannya iaitu Ain, tanpa butiran lain pada dokumen itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini