comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penarik Kereta Didakwa Miliki Pistol Dan Peluru

 FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Seorang penarik kereta didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas tiga pertuduhan memiliki pistol dan peluru tanpa kebenaran, pada 27 September lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Hendrawan Aswan, 34, dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Colts MK IV/Siries 70 yang ditemui di dalam kereta Proton Saga yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Bayanmas Bukit Kayu Hitam, pada jam 1.30 petang, 27 September lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebatan enam kali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki lima butir peluru jenis A USA 45 Auto yang ditemui bilik tidur utama rumah sama pada tarikh dan masa sama.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenama 18C Taktical 9X19 bersama satu kelopak pistol WE Tactikal berisi dua butir bebola besi yang ditemui di ruang tamu rumah itu pada tarikh dan masa sama.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syifa Mohd Hamzah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan proses lantikan peguam.

Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Alor Setar bagi ditahan reman. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini