comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penceramah Bebas Nafi Serah ‘Cek Tendang’

Muzzamil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan memperdayakan seorang individu dengan menyerahkan cek tendang bernilai RM4,287.70 bagi perkhidmatan kerja fotostat empat tahun lalu

SEREMBAN: Seorang penceramah bebas dihadapkan di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan memperdayakan seorang individu dengan menyerahkan ‘cek tendang’ bernilai RM4,287.70 bagi perkhidmatan kerja fotostat kertas peperiksaan, empat tahun lalu.

Tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Muzzamil dengan curangnya memperdayakan seorang lelaki berusia 45 tahun untuk perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah kebangsaan di Lenggeng berjumlah RM4287.70 dengan menyerahkan sekeping cek yang kemudian dibatalkannya.

Kesalahan itu dilakukan di Melati Square Putra Nilai, Nilai, kira-kira jam 4 petang, 14 Mei 2018 dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi memohon jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh merayu jaminan paling minimum memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama kepada polis, selain menanggung empat anak dengan dua daripadanya masih bersekolah.

“Pendapatan tertuduh tidak tetap sekitar RM3,000 sebulan, malah dia ada penyakit gout yang kronik dan perlu mengambil ubat setiap hari,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM2,500 dan sebutan kes bagi serahan dokumen pada 24 November 2022. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini