comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penemuan mayat dalam guni, tiga lelaki akan didakwa di mahkamah esok 

PETALING JAYA: Tiga lelaki akan dihadapkan ke mahkamah esok atas pertuduhan menyebabkan kematian kerani kewangan yang mayatnya disumbat di dalam guni plastik dan ditemui di stor buruk di Taman Bukit Serdang, di sini, 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan memaklumkan dalam satu kenyataan, mereka akan didakwa di Makamah Majistret Petaling Jaya.

“Kertas siasatan kes terbabit sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk dituduh.

“Kita akan tuduh tiga lelaki dan masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Tambi Chai di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

“10 lagi suspek yang ditahan sebelum ini dijadikan sebagai saksi pendakwaan dan akan diikat dengan bon di bawah Seksyen 49 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel berkaitan: Mayat dalam guni : Pukulan objek tumpul punca kematian

Media sebelum ini melaporkan beberapa kesan pukulan objek tumpul di seluruh badan menjadi punca kematian kerani kewangan berkenaan.

Susulan itu, polis menahan 13 individu termasuk tiga wanita di sekitar Lembah Klang pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh lelaki warga India berusia 41 tahun itu yang bekerja di syarikat besi buruk berkenaan.

Anbalagan berkata, bagaimanapun, tiga suspek wanita yang juga ahli keluarga majikan mangsa dibebaskan semalam selepas keterangan mereka dirakam.

Katanya, 10 lagi suspek adalah majikan yang juga suspek utama serta ahli keluarganya selain rakan mangsa iaitu pekerja majikan berusia lingkungan 20-an hingga 58 tahun.

Loading...
Terkini