comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengakuan bersalah penghendap Acacia ditolak mahkamah

Oleh: Syafiqah Damanhuri

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak pengakuan bersalah tertuduh kes menghendap seorang jurugambar wanita selepas mendapati Mohamad Safiq Rosli, 37 tahun mempunyai laporan ketidakwarasan oleh psikiatri.

Tertuduh juga diarahkan untuk menjalani perbicaraan selama sehari di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

“17 Januari ditetapkan untuk perbicaraan kes dan 3 saksi bakal dipanggil untuk perbicaraan kes berkenaan,” katanya.

Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas berkata pihaknya membangkitkan bantahan sekiranya Mohamad Safiq dijatuhkan hukuman tanpa perbicaraan penuh.

Pihak pendakwaan tidak mahu pengakuan bersalah yang dilakukan tertuduh sebelum ini membolehkannya menggunakan ketidakwarasan sebagai pembelaan hingga terlepas daripada hukuman penjara dan denda.

Peguam Pemerhati, Jason Wee yang mewakili mangsa memohon mahkamah untuk membenarkan keterangan mangsa dalam perbicaraan itu nanti dilakukan secara dalam talian.

Mohamad Safiq dituduh mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31 tahun secara berulang, dengan menghantar komunikasi menggunakan akaun di aplikasi X.

Gangguan itu telah dibaca di sebuah rumah di Shah Alam pada 15 hingga 21 Julai 2023 yang mana sepatutnya tertuduh mengetahui bahawa gangguan terbabit boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 507A (3) kanun sama.

Laporan media pada 15 Disember lalu, Mohamad Safiq menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan mengganggu jurugambar wanita itu.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah merujuk kepada Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima laporan perubatan psikiatri tertuduh dari Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak seperti diarahkan mahkamah pada Ogos lalu.

Laporan perubatan didapati ada ketidakwarasan terhadap tertuduh, tetapi dinyatakan oleh pegawai perubatan bahawa dia mampu untuk dibicarakan dan boleh membela diri.

Justeru, perbicaraan penuh boleh dijalankan walaupun tertuduh mengaku bersalah.

Mohamad Safiq merupakan individu pertama didakwa di bawah undang-undang itu selepas akta dikuatkuasakan pada tahun ini.

Kes ini pernah tular dan mendapat perhatian media selepas mangsa berkongsi kisah dirinya sering diganggu oleh tertuduh selama bertahun-tahun.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini