comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Penganggur didakwa bunuh anak tiri  

 

KAJANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia 11 tahun.

Tertuduh, C Stephen Raj, 43, mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa dengan niat membunuh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Melur 5, Taman Sri Ramal, di sini kira-kira jam 11.33 malam pada 21 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung mandatori.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam bela, M Manoharan.

Tertuduh, C Stephen Raj, 43, didakwa mendera anak tirinya hingga mati di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO : NSTP

Majistret Nik Siti Norazlini menetapkan 10 Januari depan sebutan semula kes.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri pada jam 11.33 malam .

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dilaporkan berkata mangsa yang dikejarkan ke hospital dengan ambulans disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Bedah siasat  oleh doktor pakar mendapati punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.

Malah, terdapat juga kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa.

Polis menahan bapa tiri mangsa ketika berada di pekarangan Hospital Serdang.

Mohd Zaid dilaporkan berkata, suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini termasuk menggunakan baldi di dalam tandas akibat marah terhadap mangsa yang sering membuat masalah ketika isterinya tiada di rumah.

Loading...
Terkini