comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Penganggur didakwa bunuh warga emas

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga emas berusia 91 tahun yang disamun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, Jasin, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, D. Peter, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Tiada pengakuan direkodkan dalam pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mengikut kertas pertuduhan, Peter didakwa membunuh seorang wanita, Misah Md. Amin, 91.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 16, Kampung Pulai Darat, Merlimau, Jasin, pada jam 1.30 pagi, 20 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan mendapatkan laporan bedah siasat.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, 20 Januari lalu, seorang warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di kediamannya.

Kematian Misah yang dipercayai tinggal seorang diri di rumah tersebut, disedari jirannya yang menyewa di tanah warga emas terbabit.

Ekoran itu, seorang lelaki diberkas berhampiran kawasan kejadian pada jam 8 pagi hari sama.

Siasatan polis mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan berkaitan kes samun dan rompak.

Loading...
Terkini