comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Penganggur dipenjara 11 bulan, peras ugut & sengaja cetus kemalangan  

 

GEORGE TOWN: Penganggur dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan peras ugut dengan sengaja mengakibatkan kemalangan jalan raya, tahun lalu.

Ashroff Abdul Shukoor, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita berusia 55 tahun.

Tertuduh dengan curang memberitahu bahawa kononnya satu bencana akan berlaku kepada wanita itu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai masing-masing berjumlah RM50 dan RM30 kepada lelaki itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tembaga, Jelutong yang terletak dalam Daerah Timur Laut di sini, pada 15 November 2023 kira-kira jam 2.30 petang dan mengulangi perbuatan sama terhadap wanita yang sama pada 30 November 2023, jam 2.05 petang.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Semasa prosiding, Nurul Atikah memohon supaya mahkamah tidak mengurangkan hukuman memandangkan fakta kes jelas menunjukkan tertuduh merancang melakukan jenayah berkenaan selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

Bagaimanapun tertuduh merayu agar mahkamah memberikan hukuman minimum dalam bentuk penjara kerana dia tidak mempunyai pekerjaan serta pendapatan selain perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua.

Siti Nurul Suhaila kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi pertuduhan pertama dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua dengan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Mac lalu.

Ahad lalu, media melaporkan polis memburu seorang lelaki yang tular di media sosial selepas didakwa sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya dengan niat untuk meraih wang ganti rugi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata pihaknya turut menerima laporan berhubung tindakan suspek daripada orang awam pada Disember lalu.

Sebelum ini beberapa gambar dan video memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sengaja mencetuskan kemalangan dengan melanggar kenderaan lain, sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kenderaan berkenaan.

Susulan insiden tersebut lelaki terbabit kemudian didakwa meminta ganti rugi dengan alasan cermin sisi motosikalnya patah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini