comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penganggur dipenjara 9 tahun, denda RM5,000 cederakan anak saudara

MUAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 9 tahun dan denda RM5,000 ke atas seorang penganggur
selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas anak saudaranya dalam kejadian kebakaran yang menyebabkan kematian tiga sekeluarga di Kampung Paya Redan, Pagoh, 9 Ogos lalu.

Hakim Narimah Badruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Azman Mohamed Nor, 48, dan hukuman berkuatkuasa hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Azman dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Azman didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 20 Ogos lalu Azman turut didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan membunuh ibu bapa dan seorang lagi anak saudaranya.

Tertuduh didakwa membunuh bapanya Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; ibunya Ara Ab. Hamit, 76, dan anak saudaranya Noradriana Nor Hasyim, 11.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, Pagoh antara 1 hingga 3 pagi 9 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau dipenjara 30 hingga 40 tahun serta maksimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

24 Oktober depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Loading...
Terkini