BATU PAHAT: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menceroboh kediaman serta merosakkan harta benda milik Sultan Johor, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Qamarulazim Samad, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasuki kediaman yang juga rumah persinggahan milik Sultan Johor yang dijadikan tempat menyimpan harta, serta melakukan khianat dengan merosakkan kunci rumah di Jabatan Kerja Raya (JKR) 10, Jalan Kluang, di sini, jam 9.30 pagi, 23 September lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan turut mengemukakan laporan psikiatri dari Hospital Permai Johor Bahru berhubung status tertuduh sama ada perlu didakwa atau sebaliknya.
Selepas meneliti laporan itu, mahkamah mendapati tertuduh layak dibicara serta membuat pengakuan atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Mahkamah sama pada 6 Oktober lalu memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital terbabit selari dengan Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Susulan pengakuan bersalah dibuat tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula bagi laporan sosial, fakta dan hukuman.
Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di Balai Polis Parit Raja pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.