
KUALA SELANGOR: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Kuala Selangor, di sini atas dua pertuduhan iaitu menceroboh kediaman dan mencederakan penghuninya, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Shamsul Atin, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Hajar Ali selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menceroboh rumah milik wanita warga emas, Kamsiah Sharif, 73, di Jalan Pari 1, Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, jam 3 petang 28 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM 5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Kamsiah dengan menumbuk di mata kiri menggunakan tangan sebanyak sekali, serta menumbuk di mulut kiri menggunakan tangan kanan sebanyak sekali, di lokasi dan masa yang sama.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM 2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan.
Majistret mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 30 hari dan denda RM1,000 dan jika gagal bayar, tiga bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.