
Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah menahan reman dua individu, termasuk seorang pengarah sebuah agensi kerajaan negeri, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM900,000.
Wang itu didakwa sebagai balasan untuk mendapatkan projek, menyediakan, dan meluluskan beberapa pelan pembangunan kepada sebuah syarikat perunding.
Perintah reman selama enam hari hingga 25 Januari 2025 dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Amierda Shasha Amir Shariffuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kemaman pagi tadi.
Kedua-dua suspek, lelaki berusia 40-an, ditahan kira-kira jam 3.00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2020, dengan menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui pindahan ke akaun bank milik suspek serta adiknya.
“Kedua-dua suspek ditahan bersama seorang lagi individu semalam, namun individu tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,”katanya.
Sementara itu, SPRM turut menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire milik salah seorang suspek, yang disyaki dibiayai oleh syarikat terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.