comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah Emraz Travel didakwa 16 tuduhan gagal patuhi awards TTPM

Datuk Zulkarnain Endut hadir di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi untuk prosiding

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Pengarah syarikat pengendali umrah, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas 16 tuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM131,890 kepada lapan mangsa.

Orang Kena Saman (OKS), Datuk Zulkarnain Endut, 43, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Mengikut kertas pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, sebagai sebuah syarikat dan Zulkarnain, selaku OKS dituduh gagal mematuhi award TTPM kepada lapan mangsa di Johor.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Menara Ansar, Johor Bahru antara 24 Julai 2023 hingga 10 Januari lalu.

OKS didakwa mengikut Seksyen 117 kurungan satu, Akta Perlindungan Pengguna 1999 .

Sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Turut didakwa seorang lagi pengarah syarikat berkenaan, Datin Mazuin Mustafa, 43, yang juga isteri kepada Zulkarnain.

Beliau bagaimanapun tidak hadir kerana cuti sakit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diketuai Mohd Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili Datuk Hanif Hassan.

Sebelum ini, OKS telah didakwa di Mahkamah Putrajaya dengan 63 pertuduhan, diikuti Mahkamah Majistret Kota Bahru 51 pertuduhan dan Mahkamah Majistret Seremban, 51 pertuduhan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan OKS hadir melapor diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya.

Kes akan disebut semula pada 22 April depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini