comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah mengaku tidak bersalah guna harta syarikat

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah dengan lima pertuduhan berasingan kerana menggunakan harta syarikat tanpa persetujuan mesyuarat agung bagi mendapatkan manfaat bagi diri sendiri.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata, berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Khasyful Azim Abd Khalit tanpa persetujuan di dalam mesyuarat agung syarikat Interfinite Sdn Bhd menggunakan harta syarikat melalui lima transaksi pindahan wang kesemuanya berjumlah RM7,899 dari akaun bank syarikat ke akaun persendirian bagi mendapatkan secara langsung manfaat bagi diri sendiri.

Menurutnya, dia didakwa mengikut seksyen 218(1)(a) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan bahawa seseorang pengarah atau pegawai syarikat tidak boleh, tanpa persetujuan atau ratifikasi suatu mesyuarat agung menggunakan harta syarikat bagi mendapatkan secara langsung sesuatu manfaat bagi dirinya sendiri.

“Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan sebaik pertuduhan dibacakan.

“Hakim Norina Zainol Abidin kemudian menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen pihak pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut SSM, pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Najia Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili oleh Syamil Othman dari Tetuan Azizul Syamil & Co.

“SSM mengambil tindakan perundangan seumpama ini sebagai satu bentuk peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.

“Ini bagi memastikan sikap tadbir urus korporat dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini