comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah, penerbit Mentega Terbang dakwa tuduhan terhadap mereka melanggar Perlembagaan

Pengarah filem Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani (kiri) bersama penerbit, Tan Meng Kheng.

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang yang berdepan tuduhan melukakan perasaan penganut agama lain, memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi kebebasan bersuara.

Pengarah, Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 37, didakwa di Mahkamah Majistret sebelum ini mengikut seksyen terbabit yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Peguam bela Mohd Khairianwar dan Meng Kheng, N Surendran, juga mahu Mahkamah Tinggi menentukan sama ada frasa ‘melukakan agama lain’ seperti terkandung dalam peruntukan itu kabur atau sebaliknya.

“Perkara itu sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Hakikatnya ini adalah undang-undang sebelum negara merdeka yang memberi beban kepada Mahkamah Majistret untuk menilai kesahihannya,” katanya ketika berhujah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, hari ini.

Pada 17 Januari lalu, Mohd Khairianwar, 32, dan Meng Kheng, 37, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Semarak Api 2, di sini, jam 12.34 tengah hari pada 26 Februari 2023.

Akhir tahun lalu, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditayangkan menerusi platform penstriman, filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan ‘konflik keagamaan’ yang dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati filem itu secara jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, berpendirian bahawa Seksyen 298 KK adalah berperlembagaan.

“Tiada keperluan untuk Mahkamah Tinggi menentukan kesahihannya.

“Memandangkan perbicaraan membabitkan Mohd Khairianwar dan Meng Kheng belum bermula, tiada fakta dikemuka kepada mahkamah mengenai isu Perlembagaan Seksyen 298 KK,” katanya.

Majistret kemudian menetapkan 14 Jun ini untuk keputusan berhubung persoalan undang-undang yang dibangkitkan itu supaya dirujuk di Mahkamah Tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini