Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah syarikat bebas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram RM9 juta

Lau Kok Loon dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram RM9 juta. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pengarah syarikat pembinaan atas tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram lebih RM9 juta, antara 2013 hingga 2017.

Hakim Datin Sabariah Othman membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Pengarah Semenyih Jaya Sdn Bhd (Semenyih Jaya), Lau Kok Loon, 80.

“Saya bersetuju siasatan dilakukan tidak lengkap, menyebabkan banyak maklumat penting tidak disiasat dan tertuduh dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan adil tanpa prejudis. Saya bersetuju pertuduhan adalah cacat serta tidak sah.

“Atas kegagalan untuk buktikan elemen pertuduhan, mahkamah mendapati satu kes prima facie gagal dibuktikan bagi kedua-dua tuduhan berkenaan dan dengan itu tertuduh dilepas serta dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Kok Loon didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang melalui akaun simpanan tetap Hong Leong Bank miliknya ke akaun simpanan semasa bank sama yang juga miliknya melalui 34 transaksi berjumlah RM9,155,644.23 hasil aktiviti haram.

Dia dituduh mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank, Tingkat 1, Wisma Hong Leong, Jalan Perak, di sini, antara 4 Disember 2013 hingga 19 September 2017.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Kok Loon juga berdepan pertuduhan pecah amanah empat cek Hong Leong Bank milik Semenyih Jaya yang keseluruhan bernilai RM7,608,167.43. Difahamkan, cek itu sebahagian wang hasil aktiviti haram.

Bagi kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Sungai Besi, di sini, antara 27 Ogos dan 3 September 2013, pengarah syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini