comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengasuh mengaku bersalah, dedahkan kanak-kanak 17 bulan kepada kecederaan 

KAJANG: Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini kerana mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan dalam jagaannya yang mungkin menyebabkan kecederaan, bulan lalu.

Nor A’in Ismail, 24, yang sedang hamil, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada kanak-kanak berkenaan didapati dengan sengaja mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di taman asuhan itu di Bandar Mahkota Cheras, jam 4.15 petang pada 28 Mei lalu, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam Subseksyen (1) Seksyen 31(2) akta sama, memerintahkan supaya orang yang disabitkan kesalahan menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh dengan syarat difikirkan patut dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Susulan pengakuan bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan, memohon tarikh sebutan untuk laporan perubatan penuh mangsa sebelum mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

“Syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Wan Guan Hui, memohon cadangan jaminan dikurangkan atas alasan tiada kesalahan lampau dan risiko melarikan diri.

“Ahli keluarga tertuduh ada di mahkamah untuk memastikan wanita itu hadir untuk prosiding selanjutnya,” katanya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes untuk laporan forensik dan perubatan mangsa ditetapkan pada 2 Julai ini.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini mengenakan denda RM3,500 kepada pemilik TASKA sama, Chan Pei Kuan, 34, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pusat jagaan itu beroperasi tanpa lesen.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz, turut mengarahkan wanita itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didapati menjalankan operasi taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 pada jam 7.30 malam tarikh sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada denda maksimum RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili Guan Hui.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini