
KOTA TINGGI: Seorang wanita warga emas yang juga pengasuh bayi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan mengabaikan seorang bayi berusia sembilan bulan hingga menyebabkan kematiannya.
Tertuduh, Chia Muy Hoong, 61, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibaca di hadapan hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan diantara 6 Disember tahun lalu hingga 12 Januari lalu, di Taman Intan Jaya, Mersing.
Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh telah menganiaya bayi berkenaan hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang kiri kepala sehingga mangsa meninggal dunia.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksima RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Amy Law Siew Tin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh tidak menganggu saksi pendakwaan terutama ahli keluarga mangsa
Kes akan disebut semula pada 24 Februari depan bagi serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.