comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengembala Lembu Didakwa Bunuh Wanita Yang Mayatnya Disorok Bawah Katil

Tertuduh, M. Kirubakaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan membunuh seorang kerani wanita yang mayatnya ditemui disorok di bawah katil di sebuah rumah.

Seorang pengembala lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kerani wanita dua minggu lepas yang mayatnya ditemui disorok di bawah katil di sebuah rumah.

Tertuduh, M. Kirubakaran, 29, didakwa membunuh  Lee Ling Tee, 40, di rumah mangsa di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas di Sungai Jawi, Nibong Tebal antara 3 pagi hingga 4 pagi, pada 28 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aziana Azib kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Kirubakaran mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine semasa pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atasnya dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan pada 1 pagi 29 Ogos lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes bagi kesemua pertuduhan.

Semua prosiding kes hari ini dijalankan di Mahkamah Munisipal Butterworth selepas Mahkamah Jawi sedang dalam kerja-kerja penambahbaikan.

Pada 29 Ogos lepas, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan pada 7.20 malam memaklumkan penemuan mayat seorang wanita berusia 40 tahun disorok di bawah katil di sebuah rumah teres jenis dua tingkat. – BERNAMA

Loading...
Terkini