SEREMBAN: Pengikut ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace dipenjara enam bulan dan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah, 12 Oktober lalu.
Tertuduh, Zolekafeli Abd Ghani, 60, dijatuhi hukuman itu selepas faham sebab dan akibat sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Zulfikri Yasoa.
Pengikut ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace dipenjara enam bulan dan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah, 12 Oktober lalu. pic.twitter.com/mOAf08E3Rb
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 24, 2024
Menurut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didapati mengajar ajaran salah kepada anak lelakinya berusia 30 tahun yang berlawanan dengan hukum syarak dengan menyatakan Abdullah Hashim adalah imam mahdi ketiga dan mendakwa ajaran ini roh Allah ada pada Abdullah Hashim.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan sama dengan menyatakan al-Quran telah ditokok tambah oleh Saidina Umar dan kahwin antara adik- beradik dibenarkan dengan syarat kahwin biologi sahaja bukannya secara roh.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Ampangan, di sini, antara jam 2 petang hingga jam 4.40 petang, 12 Oktober lalu.
Tertuduh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan dengan alasan dia kini sudah berusia 60 tahun dan pesara bomba yang masih menanggung isteri serta tiga anak yang masih belajar.
Tertuduh juga memaklumkan mempunyai masalah kesihatan iaitu penyakit kencing, tekanan darah tinggi dan masalah jantung.
Sementara itu, Pendakwa Syarie Azizudin Abdullah Halim dan Zarul Izham Jaafar dalam hujahan pemberatannya memberitahu mahkamah bahawa pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pernah mengeluarkan kenyataan supaya masyarakat berwaspada dengan ajaran berkenaan.
Tambahnya, kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius kerana membabitkan akidah dan boleh menyebabkan murtad, syirik dan kufur.
Dengan mengambil kira rayuan tertuduh, dan hujahan pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,500 bagi setiap pertuduhan yang berjalan berturutan.
Tertuduh juga diarahkan dikenakan penjara dua minggu jika gagal membayar denda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.