comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penguat kuasa direman kes suapan RM30,000

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pegawai penguat kuasa hari ini, selepas disyaki meminta wang berjumlah kira-kira RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat.

Suapan berkenaan dipercayai sebagai balasan menutup kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tajaan penerbitan sebuah buletin.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 9 November 2023 dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas pihak SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Semalam, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan SPRM kira-kira jam 4 petang di sebuah kafe di sekitar Subang Jaya.

Sumber berkata, suspek dipercayai menghubungi pemilik syarikat berkenaan pada Oktober lalu meminta wang tersebut bagi penerbitan buletin yang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan untuk sebuah jabatan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini