
BALIK PULAU: Seorang pengusaha ikan hiasan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memiliki pistol tiruan dan senjata api, pada Isnin dan Selasa lalu.
Soon Hoe Jin, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, Hoe Jin didakwa memiliki satu pucuk senjata api tiruan iaitu pistol tiruan berwarna hitam coklat.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara Bayan Lepas di dalam daerah Barat Daya, lebih kurang jam 9.30 malam, pada 13 Januari lalu.
Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh diwakili peguam, Eddie Kwang.
Lushani ketika prosiding mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan Eddie kemudian memohon dikurangkan hukuman denda dan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Sementara bagi pertuduhan kedua, Hoe Jin didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis Revolver .38 S&W SPL.P 2 inci yang bernombor siri CPZ4899 dengan menyalahi undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam stor rumah Lot 10988, GM 480 Mukim 4 di dalam daerah Barat Daya, pada jam 12.25 pagi, 14 Januari lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.
Eddie kemudian meminta jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh adalah pesakit jantung yang masih mengambil ubat.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kes itu bersabit senjata api dan menetapkan tarikh pada 9 April depan bagi sebutan semula kedua-dua kes berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.